Rabu, April 01, 2015

Selepas satu April

Perjalanan pulang ku dari tempat kerja pada pukul enam petang akan membuntuti sebuah bas kilang yang menurunkan pekerja beruniform biru di pinggir jalan sebuah kampung, berhadapan dengan sebuah sekolah agama. Oleh kerana jalan kampung ini kecil, maka bas yang berhenti memakan sebahagian dari jalan. Kenderaan yang berada di belakang bas mahu tak mahu perlu menahan kesabaran sementara penumpangnya turun seorang demi seorang. Tetapi penunggang motosikal seperti ku boleh terus sahaja ke depan dan selalunya berada tidak jauh dari mereka yang turun dari bas, yang kesemuanya perempuan. Selalu ku perhati mereka turun dengan wajah ceria, menghabiskan ketawa yang tersisa dari dalam bas dengan muka memutih baru di sapukan bedak. Mereka saling melambai dan mengucapkan selamat tinggal lalu menyeberang jalan ke arah motor-motor yang sudah menanti. Ada yang dijemput oleh si suami bersama anak kecilnya. Ada dijemput oleh anaknya yang kaki masih belum dapat jejak ke tanah dengan betul.

Kita tahu berapa sangatlah gaji para pekerja kilang ini. Kita tahu mereka keluar awal pagi menunggu bas meninggalkan anak-anak yang kecil di rumah. Kita tahu kerisauan mereka bila berada di tempat kerja - makan pakai anak-anak mereka, sihat sakitnya mereka. Kita tahu mereka menanggung tanggungjawab bersama suami mencari pendapatan lebih bagi keperluan keluarga. Tetapi kita lihat mereka tidak putus gembira dengan rezeki yang ada, masih boleh bergurau meski pun telah penat bekerja disusuli dnegan tugasan berikutnya di rumah.

Kita tahu di tempat lain, ada yang masih di pejabat menyelesaikan urusan yang tidak pernah selesai. Ada yang tidak mampu menikmati erti gembira meski pun telah punya gaji berganda-ganda banyaknya dari pekerja kilang ini. Ada yang pulang dengan kemarahan, ada yang memijak orang lain demi memanjat tangga kerjaya.

Petang tadi ketika pulang aku tidak sempat menemui mereka kerana terlewat pulang. Aku tidak tahu apa yang mereka faham tentang GST tetapi mereka pasti terkejut jika RM10 yang dibawa untuk membeli lauk di kedai hari ini sudah tidak sama banyaknya dengan semalam. Apakah masih akan ada kegembiraan pada mereka bila turun dari bas selepas 1 April?

Tiada ulasan: