Rabu, April 15, 2015

Yang ditimba dan terlepas ke dalam perigi

Aku sedaya upaya tidak akan meninggalkan kelas walau macam mana keadaan sekali pun. Semester lepas, aku tinggalkan satu kelas Aqidah kerana dah berjaga dari jam 11 malam dan langsung tak tidur-tidur. Kerja gila yang aku buat hari ini ialah keluar rumah jam 7.10, sampai pejabat 7.30. Kemas dewan dan susun kerusi kemudian memecut ke kelas, tiba 8.44. Sempatlah menarik nafas. Aku minta izin keluar jam 11 supaya dapat berkejar ke pejabat untuk acara yang melibatkan tetamu luar. Tiba jam 11.55 dan dapat mendengar ceramah Ahmad Keelar yang membuka mata. Cuma aku tak boleh nak fokus kerana terlalu lapar sedangkan aku sejenis manusia yang ambil heavy breakfast. Duh, dengan jadual padat begini, manakan smepat makan? Kemudian buat kerja hinggalah makam, tiba di rumah jam 10.30. Ketika itu barulah aku terasa penat, kaki bergegar dan mata bertukar merah biji saga.

### Dalam kelas Qur'an and Hadith tadi, perbincangan adalah tertumpu kepada isu kontemporari dalam kajian Qur'an. Kelas Dr Syam paling aku seronok ikuti kerana beliau sangat teliti sehinggakan setiap perkataan yang kita gunakan ditegurnya. Beliau membantu aku menyusun fakta yang bersepah dalam kepala, mengajak memandang dari pelbagai arah, membetulkan sudut pandang yang terpisah-pisah, mengatur idea dan maklumat dengan baik, menyusun kronologi maklumat dengan kemas supaya dapat menyediakan hujah yang tidak mampu dibalas pihak lawan. Beliau mengajakku memilih perkataan paling tepat bila menulis dan menyedarkanku hakikat maksud setiap perkataan yang kita gunakan. Oleh itu modernis, sekularis, liberalis, feminis, literalis walaupun datang dari acuan yang sama tetapi menghasilkan bentuk yang berbeza. Sayang sekali tak dapat bersama satu jam lagi kerana beliau akan bagi beberapa lagi poin penting sebagai peluru tambahan menentang puak-puak yang tak faham atau pura-pura tak faham agama 

## Dan, tujuan ku di sini ialah menimba sedalam-dalamnya ilmu, bukan sekadar menyiapkan tesis. Masih jelas misi mereka - kami mahu melahirkan scholar, bukannya graduan. Apakah kau faham???

Tiada ulasan: