Jumaat, Mei 15, 2015

Belasungkawa RZ

Saya cuba menghubunginya ketika mula berjinak-jinak dalam bidang puisi. Saya sekadar memerhatinya dari jauh ketika mula memberanikan diri menjejaki Rumah PENA, acara sastera atau majlis karya. Pernah sekali mendengar perkongsiannya dalam bidang puisi bersama sekumpulan pelajar UKM. Saya orang luar yang tersesat dalam acara dalaman.


Dalam PENA, ruang sentiasa terbuka untuk bertemu sama ada dalam mesyuarat atau majlis sastera. Tetapi saya tidak tahu bagaimana harus berbicara dengannya. Kami masing-masing dalam dunia sepi. Tapi bila sahaja mula bertegur, dia akan rancak berbicara. Menjelajah dari makyung ke wayang kulit, puisi sufi ke wahabi-salafi dan macam-macam perkara lagi.


Walau pun berada dalam kelas yang tersendiri, dia tetap begitu. Merendah dan cuma menguntum senyum. Tak pernah suaranya tinggi tapi jika ada yang tidak digemari, pantas dia menegur. Kali terakhir berselisih dengannya ialah di SNL tiga minggu lalu. Memang dalam mana-mana majlis ilmu, wajahnya akan kelihatan. Teringat dahulu ketika kami sibuk membeli buku di Joga, dia mencari pak kiyai untuk bertemu muka. Dia begitu menghormati guru dan memuliakan majlis ilmu. SNL minggu ini pasti tak akan terlihat lagi kelibatnya.


Ketika di KLIBF Tokyo tahun lalu, dia antara insan yang saya kenali dan sempat berkongsi tentang gabungan persembahan wayang kulit dan boneka Jepun 'Edo Ito Ayatsuri Ningyo'. Dia memberitahu bahawa penggiat Edo Ito dari Jepun belajar wayang kulit hingga fasih 'kecek Kelate'. Ramai yang tahu betapa dia cintakan makyung, rebab, wayang kulit dan yang seumpama dengannya, yang menjadi darah dagingnya. Dia sering terbang ke sana ke mari mempromosi budaya dan seni, sehingga tak punya ruang untuk merehatkan diri.


Saya diberikan kesempatan untuk bersama dalam pelbagai acara dengannya. Dari Jogja ke Chennai ke Makassar, ruang sentiasa ada tetapi saya tetap tidak pandai berbual dengannya. Kalau ada pun, dalam kadar yang minimum. Namun dia sentiasa ada bila diperlukan, menghargai bakat anak muda, tidak pernah menolak permintaan dan tidak pernah mendengar dia berkeluh kesah.


Malam sebelum dimasukkan ke hospital, beberapa AJK PENA makan bersama-sama. Namun oleh kerana saya sudah berada di rumah, tidak dapat menyertai mereka. Berita yang diterima esoknya mengejutkan kerana dia tidak pernah kelihatan sakit. Kesibukan yang melanda sebelum dan sebaik pulang dari Padang tidak memberi ruang melawatnya segera, namun sudah merancang untuk melawatnya hari ini. Tetapi rahsia Tuhan tidak siapa mampu menduga.


Dia sudah pergi, dipanggil pulang untuk berehat selama-lamanya. Amat berat untuk saya tuliskan catatan ini namun perlu juga saya coretkan. Sebagai tanda kenangan terhadap perkenalan dengan seorang lelaki budiman. Kita tahu betapa dia menghargai persahabatan dengan menjenguk FB-nya dan ketika dia di hospital. Teman-teman silih berganti mengucapkan selamat tinggal, tidak kira jauh dan dekat.


Kumpulan puisi terakhirnya 'Sehelai Daun Kenangan' bila di baca dengan teliti seolah-olah menyampaikan pesanan terakhir kepada isteri, anak, teman, penggiat sastera, pemimpin dan masyarakat. Semoga anak dan isterinya kuat mengharungi kehidupan selepas ketiadaannya.
Tiada lagi catatannya dalam Perjalanan Salik yang dapat dibaca. Kami akan menyusul nanti.


Al-Fatihah untuk abang Rahimidin Zahari

Tiada ulasan: