Rabu, Mei 13, 2015

Catatan Padang #2

2/
Persinggahan anggota kembara Jejak Tarbiah Hamka di beberapa madrasah dan pesantren di Padang disajikan dengan alunan muzik dan dendangan lagu dari perkumpulan yang ditubuhkan dalam madrasah dan pesantren sendiri. Anak-anak ini bukan sekadar menyanyi tapi berkebolehan bermain pelbagai jenis alat muzik dan menggayakan pelbagai jenis tarian dengan baik. Malah mereka menggayakan dengan penuh perasaan dan cara tersendiri.


Dari satu segi, suasana ini merupakan satu kejutan buda...ya kepada kami. Ada antara kami yang sukar pada awalnya menerima dendangan muzik dan lagu dari sekolah 'agama'. Oleh itu pada kesempatan yang ada, saya bertanyakan soalan kepada Pak Irfan, Konsultan Pendidikan yang mengiringi rombongan kami di sana.


Muzik adalah satu appresiasi, katanya. Mereka bersandarkan kepada peristiwa hijrah Nabi dari Makkah ke Madinah yang disambut oleh puak Ansar dengan lantunan lagu dan muzik. Malah sejarah pun mengajarkan bagaimana Islam ditanah Jawa dikembangkan oleh Wali Songo menerusi hiburan - wayang kulit, gamelan, bonang dan beberapa lagi.


Ini mengingatkan kepada perjalanan saya ketika ke Jakarta hampir lima tahun yang lalu. Teman yang menjadi tuan rumah pengembaraan memberitahu bahawa masyarakat di sana memang sukakan muzik dan bukanlah satu kesalahan untuk mereka berhibur. Banyak pusat karaoke keluarga dibina dan selalunya keluarga menghabiskan liburan bersama di pusat karaoke. Muzik dianggap terapi dan berkunjung ke pusat hiburan tidaklah menjadi sesuatu yang dipandang serong. Masih segar lagi kata-katanya - berbeza dengan Malaysia, remaja yang berkunjung ke pusat hiburan tidak mengambil narkoba kerana bukanlah itu tujuan mereka. Fokus mereka adalah berhibur, bukannya membuat aktiviti terlarang.


Sekaligus menjadikan kita sedar bagaimana industri muzik di Indonesia begitu meriah dan besar dengan kepelbagaian irama dan lagu. Penghargaan terhadap muzik ini turut dilihat pada usaha mereka menghargai bakat anak-anak sekolahan dengan mengangkat kemahiran mereka yang meminati muzik. Tiada halangan untuk bermain muzik atau menyanyi malah kita kagum bagaimana mereka boleh mengendalikan peralatan muzik dengan baik dan menyelaraskan sendiri sistem bunyi ketika mempersiapkan majlis. Di Bukittinggi saya terharu menyaksikan anak-anak Sekolah Dasar melantunkan alunan pelbagai lagu sebagai persediaan untuk pertandingan antara sekolah.


Muzik pada masyarakat kita masih taboo dan sering terkait dengan aktiviti negatif. Di sekolah, muzik cuma subjek pinggiran bagi melengkapkan jadual. Masih ramai beranggapan muzik adalah bidang tiada masa depan. Pengaruh Nyonya Mansur dan Sabariah kepada Kassim Selamat dalam satu adengan Ibu Mertuaku sangat kuat dalam pemikiran kita hinggakan muzik menjadi bidang yang dipinggirkan.


"Pantang datuk nenek aku ahli muzik!!!"


‪#‎jejaktarbiah‬ ‪#‎jejakhamka‬ ‪#‎ibrahpadang

Tiada ulasan: