Sabtu, Mei 23, 2015

Dimensi baharu dunia sastera?

Berada dalam Forum Penulis Muda Pen bertemakan Dakwah Dalam Sastera Islam: Kreativiti dan Pengaruh pagi tadi seperti menemui dimensi baharu dalam dunia sastera apabila setiap ahli forum bercakap tentang pentingnya ilmu dan kesedaran kepada ilmu.
Apa yang ditegaskan ialah peranan dan tanggungjawab sebagai penulis, bukan lagi mencirikan apa yang patut ada pada novel Islami. Jika penulis itu sedar dia adalah penulis yang mempunyai kesedaran dan tanggungjawab yang telah disandar... kepadanya sejak di alam ruh, maka tidak akan wujud apa yang disebut sebagai sastera cabul, sastera lucah atau karya-karya yang mengajak ke lembah dosa. Ilmu yang ditimba menerusi pembacaan atau perguruan turut menjadi penapis atau penampan kepada bacaan-bacaan luar yang bukan dari tradisi kita. Hatta kalau baca Bible pun tak kan rasa apa-apa kerana kita dah ada ilmu yang kuat untuk menapisnya.
Ahli forum juga kebetulan adalah pembaca tegar. Mereka dan saling berkongsi bahan bacaan yang patut dibaca. Pengalaman sebagai pembaca dan kemudiannya menjadi penulis banyak membantu mereka untuk menekuni karya yang patut dan tidak patut dibaca. Namun begitu mereka tidaklah semudah itu menghukum sesuatu buku tetapi memberi panduan kepada pembaca yang lain supaya boleh menilai yang baik dan yang buruk.
Ia ibarat kita menemui lampu yang lebih terang dari apa yang kita temui sekarang. Kita akan merasa bahagia dan gembira berada di situ kerana kita tahu lampu itu adalah lampu yang benar-benar menerangi kita. Kalau kita sudah yakin berada dalam lampu yang cerah, kita akan cepat merasa gelisah bila berada dalam lampu yang malap.
Kisah-kisah yang diangkat dari Sheikh Abdul Qadir al-Jailani dan pengalaman ahli panel membaca karya-karya besar Islam seperti Imam al-Ghazali menunjukkan arah sebenar sastera Islami tanpa perlu dibumbui oleh lambakan ayat al-Quran dan hadis dalam setiapa karya tanpa disharahkan atau ditunjukkan bagaimana dan apa sebenarnya. Semoga ini membuka ruang baharu kepada makna sebenar sastera Islami yang berteraskan pemikiran, adab dan estetika makna tanpa mengenepikan takah keindahan, faedah dan kesempurnaan seperti yang ditafsirkan oleh Dr Braginsky.
Terima kasih kepada ahli panel yang membawa perbahasan dengan baik sehingga saya benar-benar merasa terhibur dan puas hati. Sudah lama tak mendengar forum yang boleh meningkatkan takah kefahaman seperti ini. Cuma sayang sekali, terpaksa keluar awal sebelum habis panel berbicara.

Tiada ulasan: