Sabtu, Jun 20, 2015

Catatan akhir sebuah perjalanan

Aku cuba mencatatkan kembali apa yang berlaku sepanjang perjalanan dan penemuan akhir aku dengan Logman karim. Semoga ini akan terus mengekalkan ingatanku yang tersisa untuknya.
 
5 Jun 2015 | Sabtu
Sabtu, menjelang Asar. Secara tiba-tiba dapat makluman bahawa Loqman adalah salah seorang mangsa hilang ketika gempa bumi di Gunung Kinabalu pada semalam, 5 Jun 2015 (Jumaat). Secara tiba-tiba aku cuba mengingat kembali tentang Loqman, perkara yang dibuatnya pada pandanganku sebelum berlaku kejadian itu. Dari instagramnya, aku nampak dia berada di sekitar Kota Kinabalu, berjalan-jalan, cari makan dan jumpa kawan. Nampak gayanya dia menghabiskan beberapa lama mas cutinya di sana. Sebelum itu sudah nampak yang dia menyiapkan beg untuk ke dua destinasi berbeza. Kalau satu ke KK, satu lagi? Dia tak memberitahu aku pula tak bertanya.

Sejak siang Sabtu itu mulalah kekecohan antara kami berlaku. Benar, kehilangannya sudah disahkan dan kami menjadi risau. Jika benar dia mendaki Gunung Kinabalu, bagaimana keadaannya? Arifah terus menghubungi IPD Ranau untuk mendapatkan maklumat rasmi. Memang nama Man dalam senaria orang hilang dan masih belum ada berita terbaharu. Ada 19 orang nama hilang, dua dah dapat ditemui. Risau kami cuba memanjatkan doa. Semoga kau hanya hilang, bukannya apa-apa. 
 
Sabtu seperti biasa aku ada kelas penuh. Pagi aku ponteng kelas Arab untuk ke Wacana Falsafah Hidup Hamka. Kemudian aku terus ke Kelas Prof T. Malam ada SNL. Tetapi aku harus pulang kerana esok ada kenduri doa selamat. Selepas kelas Prof T, aku ke Dewan Utama untuk makan dan terus pulang ke rumah. Sampai Serting lebih kurang jam 11. Sepanjang perjalanan mesej tak henti-henti masuk. Benarkah Loqman di sana? Apa khabarnya?

Jauh di sudut hati aku masih mengharap dia tidak apa-apa.

Tetapi mesej-mesej yang masuk kian merisaukan. Zamir bertanya agar sesiapa dalam kalangan BOD boleh menjadi wakil menghubungi keluarganya. Aku tahu BOD tengah pening dengan teater Kelip-Kelip minggu hadapan. Maka aku menawarkan diri. 

Pertama sekali ialah menghubungi ibunya. Aku menghantar SMS memperkenalkan diri. Ketika itu jam 12 tengah malam. Ibu bapanya baru mendarat dari Vietnam. Kami menawarkan tiket untuk keluarganya ke KK jika perlu. Aku tahu ibunya tidak akan membalas sekarang. Tetapi aku tahu dia akan membacanya.


6 Jun 2015 | Ahad
Aku terjaga seawal 4 pagi. Tidak lama kemudian aku terima SMS dari ibunya. Aku segera membalas. Terus aku mendapat panggilan dari ibu. Suaranya serak basah. Dia mengatakan bahawa tiket sudah dibeli malam tadi sebaik sahaja mendarat. Penerbangan mereka jam 9 pagi nanti ke KK. Aku mengangguk. Seolah-olah anggukan ku dapat dilihatnya. 

Usai solat subuh aku dihubungi sekali lagi. Kali ini suara ibu jelas dan segar. Selepas memberi salam suaranya bertukar sayu dan sedih. "Doakan Loqman, maafkan Loqman, dia anak yang baik. Nanti makcik bincnag dengan ayahnya. Doakan makcik tabah." Aku pula bercucuran air mata. Cuma esakan tangis keluar dari mulutku tanpa ada apa-apa yang mampu ku ucapkan.

Bagaimana keadaan mu ketika ini, Man?

Kemudian aku dah sibuk di dapur, memasak untuk kenduri. Jiran tak ramai yang ada kerana masing-masing berhalangan. Jadi aku cuma sekejap-sekejap dapat memegang telefon. Kerisauan dalam hati usahlah cakap. Arifah kerap menghubungi IPD dan menghantar berita dari pakciknya. 

Menjelang zohor aku segera mandi. Ketika ingin solat (kerana majlis bermula sebaik sahaja selepas zohor), Arifah menghantar berita dari pakciknya:

Maaf..kami baru terima berita yang Loqman baru sahaja meninggal dunia. Dia cedera parah dihempap batu.

Aku rasa dadaku pecah.

Kemudian satu mesej yang lain masuk:

Pakcik Loqman baru call. Dia cakap Loqman dah ditemui..tapi masih koma, dihimpit batu. Sekarang rescue team sedang cuba bawa dia turun untuk ke hospital.

Aku rasa lega tetapi cuma sesaat. Masih belum yakin, masih bergalau.

Tiba-tiba panggilan dari ibunya masuk. Tepat pada azan Zohor berkumandang.

"Loqman dah tak ada. Dia koma tapi sebenarnya dia dah tak ada. Dia Allah piuinjamkan Loqman kepada saya selama 22 tahun sahaja. Maafkanlah Loqman. 

Aku tak dengar ayat selepas itu. Air mata ku turun bagai hujan. Aku tak mampu berkata apa-apa. Sebak, sangat sebak.

Di dapur masih sibuk, di ruang tamu tetamu mula datang.
 
Aku harus segera. Aku hubungi Arifah. Raihan. Izzy dan tak dapat, Zamir. Izzy.

Kemudian aku tulis status di FB

...bersambung...

Rabu, Jun 03, 2015

Sebuah rasa

 Rasa cinta itu hanya dapat dinilai oleh mereka yang jatuh cinta. Bagaimana halusnya perasaan itu, rapuhnya hati, pedihnya jiwa, bergelodak ingatan, terganggu perkataan, berkecamuk tindakan, gelisah perbuatan dan resah yang menjadi teman. Sering teringat-ingat dan terganggu. Perasaan ini dapat ketahui apabila kita sendiri jatuh cinta. Itu perasaan yang sukar diungkapkan.

Begitulah juga dengan ahli sufi. Apa yang mereka rasa hanya merekalah yang faham. Bagaimana mereka dalam cinta yang tinggi kepada Tuhan, perasaan yang dialami, dalamnya perasaan, jernihnya pemikiran, halusnya jiwa dan sucinya hati itu meraka yang rasa. Sukar sekali diungkapkan. Walau pun ada yang cuba menyatakan begitu begini perasaan itu tetapi tidak sama dengan yang merasa. Malah mereka sendiri pun sukar untuk mengungkapkannya. Biarlah cinta kepada Tuhan itu antara mereka dengan Tuhan. Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan.

Kalau pun ada yang cuba mengatakan ahli sufi begitu dan begini sifatnya, ia cuma sebahagian kecil sahaja dari apa yang mereka rasa. Selebihnya, kita kena alami sendiri. Kita sendiri perlu berada di tempat iti.

Begitulah nikmat perasaan. Apabila melibatkan cinta, rasalah dahulu barulah tahu betapa dalamnya perasaan itu.

Selasa, Jun 02, 2015

Perangkap masa

Usia antara masa. Apakah kita diperangkap usia atau dibuai-buai dengan masa?

Waktu terasa pantas berlaku. Sudah pun masuk Jun. Apa pencapaiaku tahun ini?

Tidak banyak. Selain kelam kabut oleh kelas Isnin, Rabu, Sabtu dan Ahad, kerja-kerja pejabat kian merosot. Tak banyak projek masuk. Aku dah mula bosan dengan rutin yang sama. Sudah mula mencari peluang luar. Kalau boleh di Singapura, Brunei atau Indonesia. Namun tinggi manalah kemahiran yang aku ada selain Jawi?

Pengajianku kian menarik. Cuma aku terperangkap oleh masa dari membaca buku lebih banyak. Harus aku urus masa dengan lebih baik. Cuma meter Goodreads ku agak baik tahun ini. Sudah mampu membaca sering kelajuan meter. Semiga aku boleh membaca lebih banyak buku.

Sekaligus memerangkap masaku sendiri.