Isnin, November 16, 2015

Bermula dengan yakin

"Jika Descartes memulakan sesuatu dengan keraguan, maka kita bermua dengan apa?" soalku pada suatu petang. Sesi kelima baca Risalah berlangsung seperti biasa pada petang Jumaat yang disirami hujan lebat. Selepas membaca beberapa perenggan, kami akan berbincang tentang perkara yang memerlukan penjelasan. Jika ada yang tidak dapat menjawab, kami biarkan soalan itu. Takah kefahaman akan sampai juga apabila menjenguk perenggan lain. Atau pun, bertanya kepada sang guru yang lebih arif.

"Kita bermula dengan keyakinan," jawab pemuda di hadapanku. "Menuntut ilmu bermula dengan yakin kerana kita tahu orang yang mengajar kita adalah yang berautoriti dan kita yakin dengan ilmunya. Kita tidak mempersoalkannya. Kita bertanya banyak padanya. Kita terus mempercayainya. Hanya apabila kita sudah berilmu banyak, barulah kita mula menyelidik dan bertanya. Pertanyaa itu namun bukan bertujuan mempersoalkan ilmu orang itu, tetapi sebagai pengukuh keyakinan."

Aku mengangguk. Cuba membayangkan apa yang dimaksudkannya.

"Sebagai contoh yang mudah. Sewaktu kecil kita diajar menunaikan solat. Kita ditunjukkan cara solat yang betul. Ketika itu kita menerima sahaja cara bersolat dari ibu bapa kita. Kita tidak mempersoalkan mengapa perlu solat atau mengapa solat begitu caranya. Sebaliknya kita menerima sahaja, mengikut dan menuruti, Ini kerana kita yakin dengan ibu bapa kita yang mengajarkan solat kepada kita. Kita yakin ibu bapa kita punya banyak ilmu dan tidak akan mengajarkan kita ilmu yang salah."

"Hanya apabila kita sudah dewasa, apabila sudah punya ilmu, barulah kita mencari sebab mengapa perlu solat dan sebagainya. Ketika itu kita tahu kewajiban bersolat dan kita bertanya bukan kerana ragu-ragu tetapi kerana mahu tahu. Begitu?" Aku cuba menambah.

"Benar. Ilmu itu akan membawa pada keyakinan. Ia memandu kita kepada kefahaman. Kita akan merasa selesa apabila yakin."

Jadi benarlah, atas sanad yang kukuh dengan ilmu yang berawalan dari Tuhan yang dibawa kepada Nabi, kita diberikan keyakinan tentang ilmu-ilmu itu. Kita dipandu dengan keyakinan. Kemudian kita akan faham dan tenang dengan kefahaman itu.

Kita bermula dengan keyakinan, bukannya keraguan seperti yang selalu Decartes nyatakan.

Khamis, November 12, 2015

Menerima anugerah

Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan 2015 berlangsung di Klana Resort, Seremban malam tadi, 11 November 2015. Kira-kira dua bulan sebelum itu, aku menghantar sebeban borang dan karya untuk ditandatangani oleh Puan Mahaya, Ketua Satu PEN. Dia jugalah yang menghantarkan semuanya ke PPANS. Aku dah tak sempat berbuat apa ketika itu, kerana Wise Summer School dah nak bemula dan perlu bergegas ke Casis untuk mesyuarat akhir sebelum Wisess bermula dua minggu sesudah itu.

Kemudian, dapat kad dan surat jemputan. Tertutup aku kira majlis ini. Nak bawa pasangan pun tak boleh dan tak semua AJK atau ahli dapat jemputan. Pemilihan adalah berdasarkan karya yang terbit di media pada 2010 hingga 2014. Oleh itu dapatlah aku menghantar apa-apa karya yang ada telah tersiar dan sempat aku catatkan.

Sejak akhir-akhir ini aku memang mengelak menyertai apa-apa acara atau majlis berkaitan sastera. Bukan tak mahu, tetapi kerana sudah terikat oleh waktu yang membelenggu kaki dan tanganku. Sehingga 2018, dalam kepala, hidup dan fikiranku hanyalah Sarjana. Fokus hanyaah ke situ, oleh itu memang tidak dapat berbat apa-apa jika diminta hadir atau diminta mewakili. Cuma kadang-kaang bila berjaya menyesuaikan masa, dapatlah singgah sekejap-sekejap ke majlis.

Tetapi malam ini terasa nak hadir mengenangkan rasa hormat kepada Ketua Satu yang bersungguh-sungguh memastikan AJK PEN menghadirkan diri dan menyertai acara. Jauh di sudut hati, terdekit juga kalau-kalau menang. Kalau-kalau. Kalaulah. Tapi itu cuma 10% dari keinginan. Aku sudah diri sudah lama tidak berkarya.

Atas tujuan kerajaan meraikan penulis dan pengamal media, malam ini Menteri Besar turun padang menyampaikan hadiah. Aku seludup dua orang kawan, asalnya seorang sahaja yang boleh dibawa. Tapi aku tahu, acara sastera meja sentiasa kosong. Memang itulah yang berlaku. Mereka duduk dalam majlis sehingga selesai.

Alhamdulillah, dari lima kategori yang ada, tersangkut juga satu dalam kategori Puisi Eceran. Aku syak ini puisi 'Tidak seorang Pun Wartawan Datang Bertanya' yang memenangi Hadiah Utama Kategori Puisi, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2012.  Satu kali tersiar, menang dua kali. Siapa sangka! Alhamdulillah.

Aku tak menunggu lama selepas majlis. Sebaik habis, aku bergambar di luar dan terus balik. Mereka yang lain bergambar bersama dan meraikan kemenangan masing-masing. Namun aku tidak rasa perlu diraikan dengan gembira kerana aku sudah lama tidak menulis. Aku menerima hadiah ini dengan separa malu. Hadiah ini atas karya yang lama dan karya terbaru tidak ada pun yang keluar kerana memang tidak ku hantar.  Dan juga aku lemas dengan ucapan dan pujian. Aku tidak perlukan itu, aku takutkan sanjungan. Aku hanya mahu diingatkan akan amanah ilmu yang sedang aku pikul.Kerana itu akusegera pulang. Tak mahu bertemu sesiapa.

Jadi jika kau bertanya bila aku mahu hantar dan berkarya kembali, aku tiada jawapan. Namun bagiku Eka Kurniawan sudah menyimpulkan perasaan aku buat masa ini dalam temubualnya dengan Aan Mansyur baru-baru ini:

Tapi, kemudian, aku menemukan diriku menjadi seorang penulis dan merasa butuh mempelajari sesuatu. Kenikmatan membaca tiba-tiba hilang, karena aku punya macam-macam pretensi. Apa yang bisa aku pelajari dari buku ini? Apa yang menarik dari buku ini? Kenapa buku ini menyenangkan dan apa sihrahasianya? Atau, kadang-kadang, ada godaan-godaan untuk mempertanyakan kenapa pengarang ini, misalnya, begitu terkenal. Kenapa ia dipuja-puji kritikus. Aku merasa itu masa yang sungguh tidak menyenangkan sebagai pembaca.

Tetapi, sebagai penulis, aku belajar banyak. Aku mendapatkan banyak asupan dari membaca. Aku menjadi pretensius. Aku jadi memilih-milih bacaan. Bacaanku juga menjadi agak sempit. Karena aku ingin menulis seperti ini atau seperti itu. Sebagai penulis aku ingin mempelajari hal-hal tertentu dari apa yang kubaca.

Aku butuh bukan hanya beberapa bulan, tapi bertahun-tahun, waktu untuk bisa membebaskan diriku dari masa tidak menyenangkan itu. Sekarang, bisa dibilang, aku tidak lagi peduli dengan membaca sebagai penulis. Ini titik penting buatku ketika, dalam tanda petik, aku tidak lagi terlalu peduli dengan menulis. Apakah aku akan menerbitkan buku atau tidak atau kapan? Kalau memang ada buku dan mau terbit, ya, terbit. Begitu, aku tidak lagi terbebani.

Sekarang aku lebih ingin membesarkan diriku sebagai pembaca daripada seorang penulis. Itu titik baliknya, ketika aku bisa lagi menemukan kenikmatan membaca. Aspek diriku sebagai penulis menjadi lebih minor. Aku merasa menulis hanya sebagai efek dari membaca.

Menulis hadir dengan tanggungjawab dan ilmu. Aku perlu ada ilmu untuk memikul tanggungjawab itu. Doakan aku, sobat


Buku cenderamata. Ada yang bertanya, kenapa perlu wajah pemimpin politik di kulit buku? Bukan aku yang perlu beri jawapannya.



Antara pencalonan. Pemenang langsung tak tahu apa yang dimenanginya. Zaman media sosial nampaknya keputusan perlu dikunci ketat-ketat. Tiada pengumuman hatta pada hari penyampaian



Pengiring yang teruja menyertai majlis sastera. Jangan bosan ya



Selepas ambil gambar, kami terus balik



Plak. Teruja melihat nama di atasnya



Yus di kiri dan Nora di kanan. Ratu selfie



Plak dan frame. Buku dan cek. Syukur


Rabu, November 11, 2015

Hari keraian ilmu, bukan untuk menjelmakan sikapmu


Pada aku ini bukan soal jubah ini tentang adab. Dah convo, dapat skroll, inikah cara meraikannya? Apakah mereka sedar maksud ilmu dan tanggungjawab menggalas amanah ilmu? Apakah mereka tidak insafi susah payah belajar dan perit letih di dewan kulaih? Apakah ini sikap mereka apabila menjadi orang berilmu? Apakah tujuan menuntut ilmu cuma dapat skroll, hadiri konvo dan gembira kerana berjaya melepasi zaman belajar?

Tidakkah mereka sedar cabaran yang masyarakat hadapi sekarang bila orang-orang berilmu kian keliru dengan ilmu yang ada dalam dirinya dan tidak mampu mengubah dan merubah masyarakat? Apakah mereka akan menjadi sebahagian dari masyarakat yang keliru itu? Lantas, apa tujuan mereka ke taman ilmu dan budi? Sekadar menjadi sebahagian dari statistik masyarakat yang keliru?

Wallahu a'lam


Sabtu, November 07, 2015

Apa yang Islam bawa kepada peradaban Barat?

Walaupun dah minta nak buat pembentangan minggu depan, aku minta juga giliran harini walaupun data bersepah dalam kepala. Minggu ni oleh kerana banyak kerja luar, sampai rumah terus rasa penat dan tak dapat menelaah seperti selalu. Dalam keadaan fakta tak tersusun, aku tiba-tiba dapat idea untuk membentangkan perkara lain bila melihat pembentangan kawan-kawan berfokus pada isu yang mereka minati.

Bagi menjawab soalan "What has Islam brought to Western Civilization", asalnya ingin bercakap tentang kesan Islam terhadap kesusasteraan Barat namun aku perkecilkan kepada sumbangan perpustakaan Islam sebagai sebuah institusi ilmiah kepada peradaban Barat. Ilham ini terhasil bila aku teringat pada bacaan terhadap Mehdi Nakosteen yang menceritakan bagaimana meriahnya budaya ilmu yang lahir menerusi perpustakaan pada zaman kegemilangan tamadun Islam di Baghdad dan Andalus. 
Tanpa disangka Prof puji pembentangan singkatku yang berterabur. Memang banyak sumbangan ilmuan Islam dalam bidang keilmuan yang lahir menerusi perpustakaan peribadi dan perpustakaan awam dari aktiviti terjemahan, penyalinan, kajian dan syarahan awam. Hal ini pernah aku tuliskan dalam artikel yang diterbitkan dalam buku Kapsul Nurani. Perpustakaan dahulu siap ada kopi dan bilik tidur untuk ilmuan mengkaji dan membaca tanpa perku balik ke rumah!

Minggu depan kena bentang sekali lagi dengan fakta yang tersusun dan terperinci. Dalam gambar ini, seorang teman membuat nota ringkas hasil dari pembentangan kami. Cantik tulisannya.

Terima kasih Prof, lega rasanya malam ini.