Isnin, November 16, 2015

Bermula dengan yakin

"Jika Descartes memulakan sesuatu dengan keraguan, maka kita bermua dengan apa?" soalku pada suatu petang. Sesi kelima baca Risalah berlangsung seperti biasa pada petang Jumaat yang disirami hujan lebat. Selepas membaca beberapa perenggan, kami akan berbincang tentang perkara yang memerlukan penjelasan. Jika ada yang tidak dapat menjawab, kami biarkan soalan itu. Takah kefahaman akan sampai juga apabila menjenguk perenggan lain. Atau pun, bertanya kepada sang guru yang lebih arif.

"Kita bermula dengan keyakinan," jawab pemuda di hadapanku. "Menuntut ilmu bermula dengan yakin kerana kita tahu orang yang mengajar kita adalah yang berautoriti dan kita yakin dengan ilmunya. Kita tidak mempersoalkannya. Kita bertanya banyak padanya. Kita terus mempercayainya. Hanya apabila kita sudah berilmu banyak, barulah kita mula menyelidik dan bertanya. Pertanyaa itu namun bukan bertujuan mempersoalkan ilmu orang itu, tetapi sebagai pengukuh keyakinan."

Aku mengangguk. Cuba membayangkan apa yang dimaksudkannya.

"Sebagai contoh yang mudah. Sewaktu kecil kita diajar menunaikan solat. Kita ditunjukkan cara solat yang betul. Ketika itu kita menerima sahaja cara bersolat dari ibu bapa kita. Kita tidak mempersoalkan mengapa perlu solat atau mengapa solat begitu caranya. Sebaliknya kita menerima sahaja, mengikut dan menuruti, Ini kerana kita yakin dengan ibu bapa kita yang mengajarkan solat kepada kita. Kita yakin ibu bapa kita punya banyak ilmu dan tidak akan mengajarkan kita ilmu yang salah."

"Hanya apabila kita sudah dewasa, apabila sudah punya ilmu, barulah kita mencari sebab mengapa perlu solat dan sebagainya. Ketika itu kita tahu kewajiban bersolat dan kita bertanya bukan kerana ragu-ragu tetapi kerana mahu tahu. Begitu?" Aku cuba menambah.

"Benar. Ilmu itu akan membawa pada keyakinan. Ia memandu kita kepada kefahaman. Kita akan merasa selesa apabila yakin."

Jadi benarlah, atas sanad yang kukuh dengan ilmu yang berawalan dari Tuhan yang dibawa kepada Nabi, kita diberikan keyakinan tentang ilmu-ilmu itu. Kita dipandu dengan keyakinan. Kemudian kita akan faham dan tenang dengan kefahaman itu.

Kita bermula dengan keyakinan, bukannya keraguan seperti yang selalu Decartes nyatakan.

Tiada ulasan: