Jumaat, April 22, 2016

Penuntut ilmu yang menuntut ilmu

Khalifah Harun al-Rashid ingin mempelajarinya sebuah kitab yang baru selesai dikarang oleh Imam Malik, lalu mengutuskan seorang wakil untuk menjemput Imam Malik ke istana bagi mengajar kitab tersebut. Imam Malik menolak. Ketika ditanya oleh khalifah, Imam Malik menjawab, "ilmu pengetahuan itu haruslah dicari oleh orang yang memerlukannya, bukannya ilmu itu datang mencari orang yang berhajatkan kepadanya”. Tujuan sebenar Imam Malik berkata demikian ialah kerana mahu khalifah m...emuliakan ilmu pengetahuan dan merendahkan diri kepada ilmu.

Khalifah Harun al-Rashid kemudian pergi ke rumah Imam Malik bagi mempelajari kitab tersebut lalu duduk di atas sebuah kerusi yang lembut. Melihat keadaan itu, Imam Malik pun menegurnya lagi. Imam Malik sangat berharap agar sang khalifah benar-benar dapat memuliakan ilmu, merendahkan diri sebagai seorang pelajar dan menghormati guru. Khalifah kemudian duduk bersama-sama Imam Malik.

Ketika Khalifah berhajat agar dua orang anaknya menuntut ilmu bersama Imam Malik, anak-anak ini dinasihati oleh Imam Malik agar tidak diawasi oleh pengawal dan hendaklah duduk belajar sehingga majlis berakhir.

Betapa adab dalam menuntut ilmu sangat diberi penekanan oleh para sarjana dan cendekiawan silam kerana ilmu mempunyai tempat yang tinggi dalam memberi kepandaian kepada insan. Tatkala menjadi pelajar, kita patuh kepada saranan guru, menekuni ilmunya dan memahami apa yang disampaikan. Tatkala itu segala gelar, pangkat dan nama yang panjang berjela tidak memberi kesan kepada kita sekiranya ilmu masih sama dengan insan yang tidak punya apa-apa. Tinggalkanlah gelar, pangkat dan nama ketika belajar kerana ketika itu kita hanyalah seorang penuntut ilmu.


Tiada ulasan: