Khamis, April 21, 2016

Wujud tak wujud

Polemik Hang Tuah wujud lagi. Kali ini sekumpulan sarjana duduk dalam satu meja bulat bagi mengesahkan HT itu benar-benar wujud. Namun seorang sahaja yang tidak bersetuju dan mengemukakan hujah-hujahnya. Dia ialah Prof Emeritus Dr Ahmat Adam.

Sebenarnya, masalah dalam filologi menghasilkan ragam bacaan yang pelbagai. Namun begitu aku tidak gemar mengatakan ia adalah masalah. Ia adalah cabaran dalam ragam bacaan. Dr Ahmat Adam akhirnya akan dikenang kerana dua: Hang Tuah tak wujud dan tarikh baru Batu Bersurat Terengganu
Namun sikapnya patut kita pelajari: lantaklah orang nak kata apa, dia kekal dengan kajiannya yang berbeza dari yang lain. Biarpun sendirian.

Adakah sarjana kita berani nak berbeza pandangan? Mungkin ada, tapi tak ramai yang betul-betul ke depan dan serius mendalami kajian. Ramai yang selesa memikul pandangan yang sama dengan majoriti, tak suka bertelagah menjadi minoriti. Kononnya nanti membanyakkan kerja. Tetapi beberapa kali berpeluang mendengar dia bercakap, isu yang ditimbulkan ialah keragaman pada membaca manuskrip. Beliau terlalu membelok ke Sanskrit dan Jawa kerana berpendapat teks kita adalah dipengaruhi dua bahasa ini. Atas sebab ini, boleh diterima. Cuma ramai yang tidak senang cara beliau mematahkan hujah pihak sebelah - caranya menyerang dan keras tidak digemari. Walau bagaimanapun, Dr Ahmat Adam tetap teguh pendirian dengan kajiannya biarpun bersendirian. Seorang diri ya.

Bila ada yang tanya tentang pendirian aku akan Hang Tuah, aku tidak mahu bersikap ke mana-mana parti. Sebaliknya, aku lebih suka melihat usaha sarjana menjalankan kajian bagi mengesah atau menolak kewujudan HT. Ia akan menyuburkan dunia ilmiah yang surma, dunia akademik yang lesu dan merancakkan wacana. Nanti akan lahir pandangan yang menarik dan usaha sanggah-menyanggah. Bukankah itu lebih menarik?

Tiada ulasan: