Sabtu, Mei 21, 2016

Derma dan penghasilan: Satu refleksi awal

Ilmu itu ialah apa yang kita miliki dan boleh menghilangkan resah dalam hati. Ini bermaksud jika kita tahu satu perkara dan masih rasa gelisah, kita belumlah menemui makna yang sebenar. Jadi peranan hakiki guru ialah memberi makna sebenar kepada pelajar, bukannya menghidangkan fakta. Tatkala fakta boleh didapati semudah memetik jari, ada kalanya pelajar lebih banyak fakta dari gurunya. Tetapi apakah dia benar-benar faham akan apa yang dibaca? Maka disitulah guru hadir bagi me...ngolah fakta sehingga pelajar mencapai makna untuk dia benar-benar faham. Begitulah juga keperluan untuk kita tahu hakikat sebenar sesuatu perkara, kerana biarpun fakta berubah, hakikat tidak akan terganggu oleh perubahan itu.

Intipati sharahan Dr Wan Suhaimi di WISE pagi tadi saya salin kemas dalam nota. Saya kenangkan kembali apa yang saya pelajari sebelum berada ditakah ini, apakah saya benar-benar faham sehingga mencapai makna atau sekadar tahu dan hafal fakta? Persoalan itu terjawab pada sebelah petang ketika mendengar Dr Adi Setia mensharahkan buku The Restoration of Wealth karya Ibn al-Dunya (malah sharahan beliau sebelum ini pun memang selalu memberi banyak jawapan). Sepanjang empat semester berturut-turut berada dalam kuliyyah Dr Adi, beliau membawa saya melihat ekonomi dari satu perspektif yang berbeza. Jauh dari apa yang saya tahu, tidak sama dari apa yang saya pelajari sehingga saya mengambil keputusan untuk menghindarkan diri dari memasuki industri bagi mengamalkan 'ilmu ekonomi Islam' kerana tidak begitu jelas letak duduk Islam dalam ekonomi atau ekonomi dalam Islam. Ya itu cerita dahulu, tidak langsung saya menyalahkan guru-guru terdahulu, yang jelas kefahaman saya belum menyeluruh untuk sampai kepada makna.

Petang tadi adalah sharahan terakhir Dr Adi dikhalayak umum di CASIS, namun saya masih ada dua sesi kelas dengan beliau. Pandangannya yang sering keras dan kritis tetapi penuh dengan pembuktian - sama ada menerusi IGE atau permaculture - selalu mengulangkata bahawa kita harus berusaha sendiri tanpa perlu bergantung kepada bantuan, terutamanya kerajaan. Fardu kifayah pada kita ialah mencukupkan apa yang tidak cukup. Oleh itu kita perlu bertindak dan mengamalkan/menghasilkan (producer, produce), bukan menjadi pengguna (consumer, consume) semata-mata.

"Donation must come from production. If it comes from other people, then you are a slave."

Dua sesi sharahan ini menyebabkan panas badan yang tiba-tiba melanda terus hilang dengan tiba-tiba. Sempat hinggap sehari semalam pada badan...

Tiada ulasan: