Khamis, Mei 19, 2016

Pewaris Nabi

Nota yang baik dari Dr Wan Suhaimi, diambil dari FB. AKu kongsikan di sini untuk renungan abadi

---

PARA ILMUWAN PEWARIS NABI
Umum tahu bahawa para ilmuwan adalah pewaris Nabi s.a.w. dan bahawa Nabi s.a.w. tidak mewariskan harta kebendaan, akan tetapi mewariskan ilmu pengetahuan yang benar yang memandu kepada amalan yang sempurna. Semua mereka yang merasakan bahawa mereka adalah 'ILMUWAN' akan membayangkan bahawa mereka termasuk dalam 'pewaris Nabi s.a.w.'. Namun apakah kita faham apa yang patut difahami dari ungkapan ILMUWAN PEWARIS NABI ini? Sekurang-kurangnya ada 2 perkara yang perlu diamati di sini:

1) ILMUWAN
Siapakah ilmuwan? Bagaimana dinilai seseorang itu ilmuwan? Jika ilmuwan itu adalah seorang yang memiliki ilmu maka ilmu yang bagaimana yang patut dimilikinya?

Umum masyarakat kini, ekoran budaya ilmu yg 'mudah', begitu mudah menilai dan mengangkat seseorang sebagai ilmuwan. Ia semudah menggelar dan mengiktiraf seorang doktor, jurutera, artis, dan sebagainya, walaupun pada hakikatnya utk mengenali siapakah doktor, jurutera dan artis yang sebenar bukanlah semudah itu. Oleh itu, maka ramailah manusia-manusia dilabelkan sebagai ilmuwan. Juga, ramai manusia-manusia turut berlumba-lumba mengejar kriteria-kriteria yg akan diiktiraf secara 'mudah' dalam penilaiannya sebagai seorang ilmuwan.

Namun pengiktirafan mudah masyarakat terhadap status seseorang ilmuwan tidak semestinya menjadikan mereka secara automatik PEWARIS NABI s.a.w. Tak mungkin kriteria 'mudah' sedemikian cukup untuk melayakkan mereka ini menjadi PEWARIS NABI! Apakah semua mereka ini terbukti memiliki tahap ilmu yang sebaiknya dan apakah telah terbukti kemampuan mereka mengamalkan ilmunya sedaya dan sebaik mungkin?

2) WARISI-PEWARISAN
Mewarisi sesuatu maksudnya mendokong secara sesempurna mungkin apa yg diwarisi. Ia menuntut pengetahuan yg lengkap tentang apa yg diwarisi dan apa yg diwariskan. Mereka yang mewarisi pula kalau pun tidak mampu mempunyai kualiti sebagaimana orang yang mewariskannya, namun dia akan cuba sebaik mungkin mewarisi apa yg sepatutnya ia warisi. Maka pastinya pewarisan yg berlaku dari satu generasi ke satu generasi akan berkurang nilai dan keupayaannya khusus pada mereka yg mewarisi berbanding mereka yang mewariskan. Semua ini mentafsirkan kenapa para umat yg datang selepas Nabi s.a.w. tidak mampu melaksanakan sebaik apa yg telah dilaksanakan oleh Nabi s.a.w. sendiri. Begitu juga selanjutnya para Tabi'in r.a. tak sama dgn para Sahabat r.a., apatah lagi umat selepas mereka, bahkan umat sekarang.

Ini dari satu aspek. Dari aspek yg lain pula, seseorang yg mendakwa sebagai pewaris Nabi s.a.w. perlu sedar bahawa bukti mereka benar-benar pewaris adalah apabila mereka mewarisi dari Baginda bukan sahaja ilmu dan amalan sebaik mungkin, bahkan turut mewarisi misi dan cabaran Baginda s.a.w.. Amat tidak adil jika seseorang yg mendakwa mewarisi Nabi s.a.w. tapi hanya mewarisi apa yg senang tapi dalam masa yang sama dengan helah tertentu melepaskan diri dari cabaran sebenar seorang ilmuwan. Ini adalah antara apa yang dapat difahami dari nasihat guru kami Prof al-Attas rahimahulLah.

Wallahua'lam

Tiada ulasan: