Isnin, September 26, 2016

Pasca Olimpik & Paralimpik Rio 2016

1)
Kalau rajin ikuti Sukan Olimpik Rio dan menatap Michel Phelps (dah dapat 20 pingat sepanjang Olimpik!), ada kesan-kesan bekam pada badannya. Namun bukan Phelps sahaja yang berbekam, beberapa atlit USA pun sama. Kata Phelps berbekam dapat mengembalikan kesegarna badan dengan cepat. Maksudnya tanpa makan apa-apa ubat.

Nanti esok lusa adalah yang jadikan *ehem* Phelps sebagai *ehem* model bekam.



2)
Kewujudan Refugees Team dalam Olympic Rio 2016 kali ini adalah satu tragedi kemanusiaan. Mereka hadir di bawah satu lambang yang mendukacitakan lantaran nilai kemanusiaan sudah menjadi perkara remeh.

Kita berbangga dengan semangat kesukanan mereka yang tidak luntur meskipun sudah jauh di tanah air sendiri. Namun apakah ini boleh menyusutkan kezaliman perang, penyiksaan, pelarian, kesedihan dan kebuluran yang sedang merajalela kini?

Maka bolehlah kita jangka bermacam-macam lagi 'team without country' dalam Olympic Tokyo 2016 nanti. Bersedialah


3)
Repechage saringan pertama. Lihatlah bagaimana Azizul memecut laju ke hadapan walaupun terhalang malah ditolak (bergesel?) dengan pelumba lain. Sebab itulah beliau digelar The Pocket Rocket Man. Kecil macam saiz 'poket' tapi meluru macam roket. Sempat buat wheelie digarisan penamat. Katanya, 'nak bagi penonton terhibur sikit.' Sesiapa yang mengikuti perkembangan Azizul akan tahu bahawa itu memang aksi biasa dia yang menjadi trademark perlumbaan.


https://www.youtube.com/watch?v=LbTzbyIyE_8&list=FLO5Y9BhORE89OlpO5hHYPLA



4)
Atlit perempuan: Antara haid, hijab, kemampuan, seluar panjang dan burqini,

"I feel I didn't swim well today. I let my teammates down. Because my period came yesterday, I'm feeling a bit weak, but this is not an excuse."


https://www.youtube.com/watch?v=LbTzbyIyE_8&list=FLO5Y9BhORE89OlpO5hHYPLA


5)
Pingat emas yang dinanti semakin menghampiri. Walaupun terlepas hari ini, esok masih ada harapan lagi. Tahniah kepada Goh V Shen dan Tan Wee Kiong yang berjuang dengan gigih sampai kita depan tv ni rasa nak gugur jantung. Ayuh Lee Chong Wei, Malaysia mengharapkan keajaiban esok. Perlawanan dengan Lin Dan tadi sangat epik. Macam final.

Nasib baik esok mula 8.30pm. Kalau pukul 11 kena fikir dua kali juga nak tengok atau tidak 😔

#olimpics...
#teamMalaysia
#menghitunghari



6)

Apakan daya emas tak sampai. Tiga pingat perak Olimpik dari Lee Chong Wei adalah sumbangan yang terbaik dari seorang atlit. Tahniah LCW untuk persembahan dalam Olimpik terakhir. Nampak dia tak cukup cergas selepas melawan Lin Dan semalam.

---
Lin Dan dan LCW yang bertarung semalam, dua-dua kalah hari ini. Nampak sangat mereka keletihan. Bermakna semalam memang epik...

Sob sob sobbb jomlah tidur, kita ada misi lain esok 😢😢


7)
Selepas atlit paralimpik memenangi emas pagi tadi, terbaca pelbagai komen bertanyakan ganjaran kemenangan mereka. Apakah ada ganjaran RM1 juta seperti atlit biasa? Dan mulalah sindiran-sindiran kepada pihak berwajib yang membeza-bezakan tahap pencapaian atlit. Sedangkan jauh dari pengetahuan key warrior ini, KJ telah berusaha dan berjuang memastikan ganjaran atlit paralimpik adalah sama dengan atlit bisa. Perkara ini telah saya baca dan mafhum sebelum status ini dikongsi berdasarkan kepada berita-berita yang dilaporkan sbeelum ini, tetapi bagi memastikan mereka mengerti usaha KJ, eloklah kita semua kongsikannya supaya mereka insaf dari terus menjadi penyindir bermusim. Tak ambil tahu isu semasa tapi mahu komen itu ini.

'Do any of you around this table know what it takes to become a world champion with a disability? What it takes to overcome your disability and succeed?'

Tahniah untuk para atlit dan Menterinya.

https://www.facebook.com/Khairykj/photos/a.161931397156803.43319.146120775404532/1464352770247986/?type=3&theater

Jumaat, September 16, 2016

Murakami yang berlari - 1

Most ordinary runners are motivated by an individual goal, more than anything: namely, a time they want to beat. As long as he can beat that time, a runner will feel he's accomplished what he set out to do, and if he can't, then he'll feel he hasn't. Even if he doesn't break the time he'd hoped for, as long as he has the sense of satisfaction at having done his very best - and, possibly, having made some significant discovery about himself in the process - then that in itself... is an accomplishment, a positive feeling he can carry over to the net ace.

The same can be said about my profession. In the novelist's profession, as far as I'm concerned, there's no such thing as winning or losing. Maybe numbers of copies sold, awards won, and critics' praise serve as outward standards for accomplishment in literature, but none of them really matter. What's crucial is whether your writing attains the standards you've set for yourself. Failure to reach that bar is not something you can easily explain away. When it comes to other people, you can always come up with a reasonable explanation, but you can't fool yourself. In this sense, writing novels and running full marathons are very much alike. Basically a writer has a quiet, inner motivation, and doesn't seek validation in the outwardly visible.

Haruki Murakami, What I Talk About When I Talk About Running

Selepas kota itu runtuh

Selepas Melaka dikalahkan Portugis, askar-askar Feringgi mendirikan kota pertahanan A Famosa. Kota itu didirikan pula di atas masjid besar yang telah dimusnahkan dalam perang. Di sekeliling masjid terdapat kubur-kubur yang batu nisannya dibongkar untuk batu-batunya dijadikan asas kepada A Famosa. Begitulah sejarah yang kita baca.

Tatkala mengulangbaca sejarah Melaka petang begini, terlintas satu soalan yang perlu dicari jawapannya nanti. Apakah rakyat Melaka sekadar memerhati masjidnya musnah, kubur dibongkar dan A Famosa dididirikan? Apakah mereka biarkan sahaja askar Portugis yang datang dengan kapal, yang entah berapa ratus orang itu membina A Famosa begitu sahaja?

Tetapi kita perlu tahu ada bantuan dari Goa yang datang selepas itu, juga dari tawanan perang yang dipaksa mengerjakan arahan. Apa yang kita tidak tahu ialah perasaan rakyat Melaka ketika itu. Mungkin sesuram hari ini.

Rabu, September 14, 2016

Ulasan Buku: Winstedt sebagai sarjana orientalis

Apakah R.O. Winstedt (1878-1966) seorang orientalis atau sarjana merupakan persoalan yang sukar dijawab. Dia boleh menjadi kedua-duanya - seorang sarjana orientalis. Namun menyalahkan dirinya kerana menulis sesuatu yang tidak tepat tentang orang Melayu adalah suatu kesilapan kerana itulah apa yang dia lihat sepanjang 33 tahun berkhidmat di Tanah Melayu. Sebagai sarjana, Winstedt adalah pemegang rekod paling banyak menghasilkan karya dalam pelbagai bidang (rujuk bibliografi ya...ng dihasilkan oleh H.R. Cheesemean, 1959).  

Sewaktu memulakan perkhidmatan di Perak, Winstedt mula tertarik dengan budaya Melayu menjadikan dia banyak menghabiskan waktu selepas kerja dan hujung minggu bergaul dengan masyarakat Melayu. Pengetahuan dari pergaulan ini, juga dari galakan R.J Wilkinson yang menjadi ketua jabatannya ketika itu, menjadikan Winstedt menekuni budaya Melayu dengan mendalam, mempelajari adat dan fasih dalam berbahasa. 

Winstedt mula menulis tentang Melayu dan setiap hari dia memperuntukkan masa dari jam 4 hingga 8 pagi untuk menulis sebelum memulakan kerja. Perpindahan dari Perak, Negeri Sembilan, Johor, Singapura memberi ruang untuk Winstedt merasai kepelbagaian budaya dan kehidupan Melayu, membantu dia menghasilkan pelbagai karya untuk ditekuni oleh sarjana seterusnya. 

Setelah bersara dan kembali ke England, Winstedt masih lagi berkhidmat dalam bidang pengajian Melayu, kali ini di SOAS dengan membaca dan mengkaji ribuan manuskrip Melayu yang banyak tersimpan di sana. 

Sesuatu yang jarang disebut tentang sumbangan Winstedt selepas pulang ke England ialah dia adalah antara 'colonial officer' yang bertikam lidah dengan pegawai Pejabat Tanah Jajahan untuk menentang dan menolak Malayan Union yang cuba diperkenalkan di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Bersama Swettenhan, Clementi, Haynes, Hake (dikatakan seramai 17 orang), menghantar pandangan peribadi menerusi surat ke akhbar dan dijemput berbincang di London. Mengenali orang Melayu sejak berkhidmat sekian lama di Tanah Melayu menjadikan Winstedt mengerti betapa gagasan Malayan Union tidaklah bertujuan membawa kebaikan kepada orang Melayu sendiri.

Jumaat, September 09, 2016

Ulasan Buku: Menilai yang fakta dan yang mitos dalam sejarah

Saya beberapa kali berpeluang mendengar Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam membentangkan kertas kerja tentang Hang Tuah dan Sejarah Melayu (SM) / Sulalat al-Salatin (SS) atau berkesempatan berada dalam seminar tatkala beliau hadir sebagai peserta, yang setiap kali itu juga beliau akan bangun memberikan pandangan dan melontarkan kritikan. Ramai tidak menyenangi cara Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam bersuara kerana caranya keras dan berbisa, tetapi jika kita tahu 'hakikat semulajadi orang Melaka', apatah lagi terdidik di SOAS diperingkat MA dan PhD, maka kita perlu tahu dari mana datangnya sifatnya yang tajam dan menghiris itu.

Karya terbaru beliau ini, Antara Sejarah dan Mitos, cuma menghuraikan satu sisi pandangan yang lain terhadap sejarah dan pensejarahan Hang Tuah yang bersumberkan naskhah Sulalat u's-Salatin milik Krusenstern yang tersimpan di Arkib Institut Manuskrip Oriental di Saint-Petersburg, Rusia. Naskhah ini disalin di Melaka pada 1798 oleh tiga orang penyalin atas permintaan seorang pelajar Rusia berketurunan Jerman yang berkhidmat dalam angkatan laut Inggeris, Adam Johann Ritter von Krusenstern. Ketika itu Krusenstern berada di Melaka dan mendapat tahu bahawa SM merupakan sebuah karya agung orang Melayu lalu berhasrat memilikinya sebagai hadiah.

Prof. Emeritus Dr. Ahmat mempersembahkan buku ini kepada pembaca agar dapat menilai aspek-aspek penting dan kaedah-kaedah tertentu dalam membaca sejarah agar kita dapat membezakan antara mitos dan fakta. Oleh yang demikian, beliau memperhalusi bacaan terhadap naskhah Krusenstern supaya bacaan yang tepat dan kritis dapat dibuat terhadap perkataan-perkataan yang selama ini telah dianggap tersalah baca sehingga berlaku banyak kesilapan mentransliterasikan naskhah SS yang ada. Ini sekaligus membantu beliau membetulkan beberapa pandangan terhadap sosok Hang Tuah lalu meninjau persoalan mitos yang ditimbulkan melalui perbandingan dengan teks SM/SS yang lain, khususnya naskhah Raffles MS . No.18 yang dianggap naskhah tertua dan paling banyak dibicarakan sarjana.

Tidak hairanlah, beliau mengemukakan pandangan bahawa ejaan Jawi bagi Hang Tuah (t/w/h) bukan dibunyikan dengan 'tuah' tetapi 'tuha' atau 'toh'. Sebab-sebab mengapa patut dibunyikan begtu telah disampaikan dalam satu bab khusus, diikuti dengan persoalan benarkah 'pahlawan Melayu' ini wujud. Perlu diingatkan, tulisan beliau sangat berbeza dengan personalitinya di luar yang keras dan tajam, kerana buku ini dipersembahkan dengan teratur, kemas dan tersusun sesuai dengan tujuan kajiannya, iaitu "mengetengahkan persoalan kebenaran sejarah dalam naskhah agung Sulalat u's-Salatin khususnya, dan cuba membicarakannya dalam konteks perbandingan antara historiografi dengan mitologi, dua tema yang menyentuh hal yang membabitkan historografi Malaysia tradisional". (hal. x).

Beliau turut mengemukakan pandangan terhadap tarikh pembukaan Melaka yang lebih awal berbanding 1401 dan makam Hang Tuah yang dikatakan terdapat di Tanjung Kling; pengaruh bahasa Jawa dan teks panji, kebijaksaan pengarang Sejarah Melayu dan pantangan menyebut nama (tabu perkataan) yang menjadi satu persoalan besar yang dibangkitkan tentang nama Hang Tuah dan gelaran Laksamana serta gelaran pembesar yang lain.

Sesuai dengan sifatnya sebagai seorang sarjana sejarah, Prof. Emeritus Dr. Ahmat berulangkali mengingatkan agar dapat membezakan antara dua disiplin, iaitu sejarah dengan mitologi agar terhindar dari sebarang kekeliruan dalam membaca dan mentafsir sejarah. Beliau memetik kata Ibn Khaldun yang terdapat dalam Mukaddimah sebagai panduan, "orang-orang yang tidak berhak melibatkan diri dengan sejarah...memasukkan dalam buku-buku mereka gosip yang tidak benar yang mereka fikirkan ataupun yang mereka reka secara bebas dan palsu."

------
Saya sarankan buku ini dibaca bagi mendapatkan pandangan menyeluruh terhadap kritikan beliau terhadap Hang Tuah, bukan hanya dengan mengharapkan catatan ini sahaja. Buku ini boleh didapati dari penerbitnya, SRID, Gerak Budaya atau Taman Pustaka. Semuanya ada laman niaga di FB. Suka atau tidak, setuju atau tidak, bacalah dahulu