Jumaat, September 09, 2016

Ulasan Buku: Menilai yang fakta dan yang mitos dalam sejarah

Saya beberapa kali berpeluang mendengar Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam membentangkan kertas kerja tentang Hang Tuah dan Sejarah Melayu (SM) / Sulalat al-Salatin (SS) atau berkesempatan berada dalam seminar tatkala beliau hadir sebagai peserta, yang setiap kali itu juga beliau akan bangun memberikan pandangan dan melontarkan kritikan. Ramai tidak menyenangi cara Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam bersuara kerana caranya keras dan berbisa, tetapi jika kita tahu 'hakikat semulajadi orang Melaka', apatah lagi terdidik di SOAS diperingkat MA dan PhD, maka kita perlu tahu dari mana datangnya sifatnya yang tajam dan menghiris itu.

Karya terbaru beliau ini, Antara Sejarah dan Mitos, cuma menghuraikan satu sisi pandangan yang lain terhadap sejarah dan pensejarahan Hang Tuah yang bersumberkan naskhah Sulalat u's-Salatin milik Krusenstern yang tersimpan di Arkib Institut Manuskrip Oriental di Saint-Petersburg, Rusia. Naskhah ini disalin di Melaka pada 1798 oleh tiga orang penyalin atas permintaan seorang pelajar Rusia berketurunan Jerman yang berkhidmat dalam angkatan laut Inggeris, Adam Johann Ritter von Krusenstern. Ketika itu Krusenstern berada di Melaka dan mendapat tahu bahawa SM merupakan sebuah karya agung orang Melayu lalu berhasrat memilikinya sebagai hadiah.

Prof. Emeritus Dr. Ahmat mempersembahkan buku ini kepada pembaca agar dapat menilai aspek-aspek penting dan kaedah-kaedah tertentu dalam membaca sejarah agar kita dapat membezakan antara mitos dan fakta. Oleh yang demikian, beliau memperhalusi bacaan terhadap naskhah Krusenstern supaya bacaan yang tepat dan kritis dapat dibuat terhadap perkataan-perkataan yang selama ini telah dianggap tersalah baca sehingga berlaku banyak kesilapan mentransliterasikan naskhah SS yang ada. Ini sekaligus membantu beliau membetulkan beberapa pandangan terhadap sosok Hang Tuah lalu meninjau persoalan mitos yang ditimbulkan melalui perbandingan dengan teks SM/SS yang lain, khususnya naskhah Raffles MS . No.18 yang dianggap naskhah tertua dan paling banyak dibicarakan sarjana.

Tidak hairanlah, beliau mengemukakan pandangan bahawa ejaan Jawi bagi Hang Tuah (t/w/h) bukan dibunyikan dengan 'tuah' tetapi 'tuha' atau 'toh'. Sebab-sebab mengapa patut dibunyikan begtu telah disampaikan dalam satu bab khusus, diikuti dengan persoalan benarkah 'pahlawan Melayu' ini wujud. Perlu diingatkan, tulisan beliau sangat berbeza dengan personalitinya di luar yang keras dan tajam, kerana buku ini dipersembahkan dengan teratur, kemas dan tersusun sesuai dengan tujuan kajiannya, iaitu "mengetengahkan persoalan kebenaran sejarah dalam naskhah agung Sulalat u's-Salatin khususnya, dan cuba membicarakannya dalam konteks perbandingan antara historiografi dengan mitologi, dua tema yang menyentuh hal yang membabitkan historografi Malaysia tradisional". (hal. x).

Beliau turut mengemukakan pandangan terhadap tarikh pembukaan Melaka yang lebih awal berbanding 1401 dan makam Hang Tuah yang dikatakan terdapat di Tanjung Kling; pengaruh bahasa Jawa dan teks panji, kebijaksaan pengarang Sejarah Melayu dan pantangan menyebut nama (tabu perkataan) yang menjadi satu persoalan besar yang dibangkitkan tentang nama Hang Tuah dan gelaran Laksamana serta gelaran pembesar yang lain.

Sesuai dengan sifatnya sebagai seorang sarjana sejarah, Prof. Emeritus Dr. Ahmat berulangkali mengingatkan agar dapat membezakan antara dua disiplin, iaitu sejarah dengan mitologi agar terhindar dari sebarang kekeliruan dalam membaca dan mentafsir sejarah. Beliau memetik kata Ibn Khaldun yang terdapat dalam Mukaddimah sebagai panduan, "orang-orang yang tidak berhak melibatkan diri dengan sejarah...memasukkan dalam buku-buku mereka gosip yang tidak benar yang mereka fikirkan ataupun yang mereka reka secara bebas dan palsu."

------
Saya sarankan buku ini dibaca bagi mendapatkan pandangan menyeluruh terhadap kritikan beliau terhadap Hang Tuah, bukan hanya dengan mengharapkan catatan ini sahaja. Buku ini boleh didapati dari penerbitnya, SRID, Gerak Budaya atau Taman Pustaka. Semuanya ada laman niaga di FB. Suka atau tidak, setuju atau tidak, bacalah dahulu

Tiada ulasan: