Selasa, Oktober 25, 2016

Yang sebenar puisi




Aku menyelak lembaran buku A Commentary on the Hujjat al-Siddiq of Nur al-Din al-Raniri karya Prof al-Attas yang baru siap dijilid sendiri. Mataku terpaku pada tiga helai pertama sebelum bermulanya Commentary. Prof al-Attas memulakan kajiannya dengan tiga helai puji-pujian kepada Yang maha Esa dan Khatim al-Nabi, Muhammad S.A.W. Tiga muka surat ini tertulis dalam bahasa melayu, yang lainnya dalam ENglish.

Aku salin di sini, kerana terlalu sedap membaca bait-baitnya. Semoga akan dapat menulis sebaik ini. Amin

---
Dengan Nama Allah
Yang Mahapengasih, Mahapenyayang

Segala pujian bagi Allah nan mahaesa
Yang mahamelipuri semesta semua,
Yang liputanNya menyangkal bicara
Dan Yang bagiNya tiada suatu pun tara.
Mahasuci dan mahamurni
Tiada terketika mahu pun terisi,
Tiada tercuria sebarang peri
Tiada tercapai sebarang budi;
Tuhan Sarwa alam berganda
Yang mengambang hebat diangkasa
Terpamir indah terjelma nyata
Dan yang terbunyi sunyi dalam rahasia
Yang empunya arasy yang mahatinggi
Pemilik kuasa yang mahakawi,
Yang berbuat sekehendak diri
Akan segala sesuatu mahamengetahui
Yang menjadikan kejadian semesta
Mengadakannya daripada hal tiada
Dengan hanya titah sepatah kata
Kemudian memulangkannya kepada asalnya;
Yang memperlihatkan di alam tabii
Aneka tandaNya terlalu sani
Dari ufuk berganda ke diri insani
Menyatakan wajahNya yang mahaali;
Meskipun luhurNya jauh terala
Dari segala cita dan rasa dan indera,
Namun hampirNya begitu mesra
Lebih akrab dari aku dan kita.

Tiada ulasan: