Khamis, Oktober 19, 2017

Kajian

Entri ini akan duduk atas, memijak entri lain. Tidak ada apa yang ada di sini, kecuali senaria nama yang diletakkan bagi menjalankan kajian. Ada pautan, ada pengenalan ringkas. Mudah umtuk dirujuk kerana selalu nota yang berterabur payah ditemui bila sudah dicatatkan sesuaut. Begitulah antara cabaran membuat kajian - gagal menyelenggara maklumat menyebabkan sumber yang ditemui terbang begitu sahaja.

Doakan hamba berjaya melepasi cabaran pencarian dalam menulis tesis!

  1. Ignaty Krachkovsky’s 
  2. Mahmud Taymur
  3. Ismail Marcinkowski
  4. Jurnal al-Shajarah
  5. https://patanistudies.com/


Khamis, Mac 23, 2017


Ulasan Buku: Kisah Sebuah Kematian Yang Menghidupkan



Judul buku                  : Cerita Cinta Ahmad Ammar

Penulis                        : Kumpulan Penulis GTPD

Penerbit                      : Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd

Jumlah halaman          : 360

Tahun terbitan            : 2014



Bukanlah kisah cinta biasa yang cuba dipaparkan dalam buku ini. Sebaliknya, kisah seorang anak muda yang hidup seperti insan lain namun kematiannya menjadi sebutan ramai sehingga mencetuskan satu kejutan dan fenomena luar biasa selama berbulan-bulan. 



Ahmad Ammar membesar seperti kebanyakan anak muda lain. Bezanya, dia adalah anak pasangan yang begitu dikenali dengan kegiatan kemanusiaan dan kemasyarakatan, dari seluruh pelusuk tanah air hinggalah ke peringkat antarabangsa. Apa yang menjadikan nama Ammar disebut-sebut ialah, kematiannya pada usia 20 tahun yang masih muda tetapi telah banyak menghidupkan hati-hati yang mati dan jiwa-jiwa yang keras, yang tersentuh dengan keperibadiannya yang luhur, dan perwatakannya yang merendah hasil dari gagasan besar yang diletakkan oleh ibu dan bapanya.



Buku ini menghimpunkan 16 buah tulisan insan-insan yang mengenalinya, sama ada rapat atau jauh, dari kalangan keluarga, sahabat dan rakan persekolahan. Setiap dari mereka menuturkan kesimpulan yang sama, bahawa Ammar mempunyai keperibadian yang tinggi sebagai seorang anak muda yang tidak mudah berpuas hati dengan apa yang ada, bekerja keras dan mempunyai wawasan besar terhadap anak bangsanya. 



Dibesarkan dalam keluarga aktivis, Ammar sudah biasa memenuhkan harinya dengan pelbagai kegiatan yang mendekatkan dirinya dengan masyarakat. Ibu bapanya mendidik Ammar untuk menjadi seorang anak muda yang membesar dengan matlamat hidup yang jelas - dipersiapkan ke jalan dakwah. Dari rumah dia telah mendapat didikan yang sempurna, diikuti dengan dunia persekolahan yang melengkapkannya dengan ilmu duniawi-ukhrawi, memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD) yang memberinya ruang untuk lebih kuat berhadapan cabaran hidup. Menjadi pelajar kedua terbaik di MTD bukanlah lesen untuk Ammar memilih pengajian yang menjamin masa depan yang cerah kerana dia sudah ditanamkan dengan cita-cita yang lebih besar iaitu membangunkan tamadun bangsa. Hasrat yang datangnya dari ibu bapanya sendiri, langsung tidak disanggah oleh Ammar, malah dia menerima dengan hati terbuka. Ammar tidak dihantar ke barat sebaliknya ke Turki lalu terus memulakan usaha tersebut sebaik sahaja tamat SPM.



Di bawah Jamaah Hayrat, Ammar diasuh bukan sahaja dari segi bahasa dan budaya Turki, malah dengan kefahaman terhadap konsep futuwwah dan persaudaraan dalam pergaulan seharian. Dia mendalami ajaran dan pemikiran Badiuzzaman Said Nursi menerusi Risalah al-Nur malah sudah sedia menjadi pengajar yang ditauliahkan oleh gurunya.



Ammar menjadi rakyat Malaysia yang pertama dimakamkan di Eyyub Sultan, kawasan pemakaman yang menempatkan persemadian Abu Ayub al-Ansari dan 60 orang sahabat Nabi yang syahid serta para pejuang semasa zaman khilafah Uthmaniyyah. Malah ayah Ammar sendiri selalu memberi nasihat kepada anak muda yang berdakwah di luar negara, sekiranya ditakdirkan meninggal dunia, kebumikan sahaja di sana dan jangan diminta untuk dibawa pulang. ‘Biarkan jenazah bersemadi di tempat nafas terakhir dihembuskan.’ (hlm. 81).



Ibu bapanya menjadi ruang untuk mendapatkan maklumat bagaimana Ammar boleh dibesarkan dengan sebegitu hebat dalam keadaan dunia yang semakin mencabar ini. Ternyata sebelum mendidik seorang anak, ibu dan bapa perlulah menjadi yang terbaik sebagai model untuk dicontohi anak-anaknya.



Kisah cinta Ammar dianggap sebagai luar biasa dan cintanya yang tinggi kepada ummah menjadikan dia seorang insan yang akan dicontohi dan dikenang-kenang sampai bila-bila. ‘Pemergian Ammar telah memberi keyakinan kepada kebanyakan orang, agar generasi baru harus dipersiapkan segera untuk menebus maruah umat yang terus dihina dengan kelemahan dan perpecahan’ (hlm. 79)








Selasa, Mac 14, 2017

Kekenyangan

Pukul dua belas tengah malam. Aku menyuap nasi perlahan-lahan ke mulut sambil membaca mesej-mesej yang pending serta emel yang masih belum sedia kubalas siang tadi. Semua permintaan kutolak dengan baik. Sudah sampai masanya untuk kuberhenti bercakap.
.
Aku menyuap nasi perlahan-lahan pada pukul dua belas tengah malam. Lauk gulai ayam dan sambal udang masakan emak yang baru datang mengisi perutku yang jarang-jarang kenyang.
.
Pukul dua belas tengah malam, aku tersenyum kekenyangan.

Ahad, Mac 12, 2017

Ahad, Mac 05, 2017

Rindu kawan-kawan

RIS yang pertama kali di luar Amerika. Berdagang bersama kawan-kawan dan dapat masuk melalui tiket khas, itu pun masuk sesi akhir sahaja.
.
Bila berada dalam majlis ilmu seperti ini, timbul rasa rindu dengan kawan-kawan yang dahulunya hampir setiap minggu dapat berjumpa, mendengar sharahan kemudian duduk berbual dan berbincang. Berjam-jam.
.
Tapi keadaan sekarang pastinya tak sama dan berubah. Kelas dah banyak habis, sharahan pun sekejap-sekejap. Jadi masa untuk berjumpa dan bersama macam dulu tu mustahil akan selalu terjadi. Fokus pun dah tak sama macam dulu, tapi endingnya tetap sama iaitu hantar tesis.
.
Bila direnung kembali, kebanyakan dari kita akan mengalami perkara yang sama. Masa tetap berjalan, takkan sama. Hidup perlu diteruskan.
.
Kita sudah ada kesibukan masing-masing, tapi kawan-kawan yang jauh tetap dalam doa dan ingatan 😢
.
#kenangdakudalamdoamu #tulisampaisiap

Sabtu, Mac 04, 2017

Menegur

Kalau pun mahu menegur, pilihlah medium yang betul untuk bersuara. Kalau dengan niat semua orang harus tahu, maka kau kena tahu batas-batas yang patut supaya tidak melampau. Hari ini nak kata melampau pun boleh juga. Macam kau buat kerja seorang diri ya. Kalau rasa penat, you must know the meaning of balance-life. Get out and get life, friend!
.
Clear message. Sleep. Refresh

Rabu, Mac 01, 2017

Alam imaginasi

Ada masa-masanya aku ingin sekali menulis dan meluahkan segala-galanya seperti mana dahulu. Namun aku sedar usia sudah bertambah, tidak seperi dahulu, menjadikan luahan-luahan yang cuba aku tuliskan sekadar tersusun jauh di dalam kepala, tidak terluah seperti mana dahulu. Harus aku akui kemampuan dan keinginan berkata-kata di sini sudah berlalu. Banyak yang mahu aku simpan sendiri dan menyusunnya dengan baik dalam alam imaginasi untuk dibuangkan ke tepi tanpa perlu didikir-fikir lagi.

Selasa, Februari 28, 2017

Teh berjam-jam

Rupanya apa yang kita lalui sekarang sudah tidak sama seperti dahulu. Hidup sudah dipisahkan oleh jarak dan ketentuan hidup yang kita rentasi. Ada rasa rindu yang dalam untuk berbicara tentang apa yang ditemukan dalam bacaan-bacaan terkini. Namun akhirnya aku memilih diam dan bergelumang dengan huruf-huruf yang bakal disusun menjadi sebuah karya untuk masa depan, lantas terus menulis agar cepat siap bagi membuka lembaran baharu untuk cabaran mendatang. Namun tidak sesekali melupakan masa kita bersama dengan secawan teh berjam-jam dalam hujan dan petang yang basah. Semuanya sudah jadi kenangan
.
I miss talking to you, my friends 😔
.
#livelife

Jumaat, Februari 24, 2017

Penyunting

Akhir-akhir ini dapat manuskrip bukan main tebal dan hebat isinya. Ada bernota kaki beratus-ratus, ada yang banyak terisi ayat Qur'an dan hadith yang perlu disemak, ada yang membahaskan perkara di luar batasan ilmu yang kita pelajari. Namun itu semua adalah buah-buahan yang meranum di dahan, menanti masa untuk dipetik dan dinikmati dengan lazatnya. Kepercayaan penulis terhadap keupayaan kita sebagai penyunting adalah satu penghargaan meskipun pandangan mata telah terisi dengan aksara yang menari-nari.
.
Kadangkala rasa ada seorang editor sahaja di pejabat. Tapi kita ok sahaja, kita gumbira, usah fikirkan masalah orang 🤐
.
#into4series #livelife #harike18

Khamis, Februari 23, 2017

Karma

Alkisahnya, selepas dua bulan mengadjust gaji dan duit-duit tepi, maka cukuplah simpanan untuk membayar yuran semester lepas (err, sebenarnya tak cukup tapi korek sana sini). Perlu bayar juga sebab semester baru dah mula dan kena daftar subjek. Sebelum daftar, yuran lama mesti selesai. Kalau daftar lambat kena denda. Amalan di UTM sangat bagus - boleh bayar berdikit-dikit sepanjang semester pengajian. Oleh itu pelajar biaya sendiri macam aku ni bolehlah bayar beransur-ansur ke Pejabat Bendahari. Untuk ini, aku salut UTM.
.
Dah alang-alang lalu Jalan Tun Razak, aku singgah ke PNB dan TH untuk tukar buku ASB yang dah penuh dan kemaskini akaun TH yang dah berapa tahun tak disemak. Dua bangunan ini memang laluan utama kalau ke Casis, maka hari ini aku sempatkan juga untuk singgah.
.
Akaun TH aku pernah isi sampai penuh - masa zaman gaji berkepuk-kepuk dahulu. Nak pergi haji memang dah boleh. Namun suatu hari panggilan dari kampung menjadikan aku tutup mata dan terus ke ATM. Mak tidak mengharapkan aku menghulurkan $ kerana dia tahu tanggungan besar aku terhadap rumah, tapi aku tahu sumber mencari bagi membantu adikku yang ditipu kawannya. Banyak jumlahnya. Kalau bukan adik beradik yang tolong, siapa lagi kan.
.
Ketika itu aku tak fikir panjang, terus kelurkan duit dan serahkan tunai bila balik kampung. Selesai masalah. Sejak itu langsung tak tengok baki akaun. Setahu aku dan licin. Nak kemaskini akaun punyalah jauh Bangi tu dari BSP dan Semenyih. Tak kuasa pergi sana semata-mata nak tengok dividen dan bonus. Namun pagi semalan, aku singgah juga. Mujurlah PNB dan TH ni duduk sebelah menyebelah.
.
Selepas kemaskini akaun, aku pun tengok baki. Lama juga aku termenung. Kenapa bakinya masih banyak? Kenapa macam tak bergerak. Memang sungguh aku ingat sudah tidak berbaki tapi dengan dividen dan bonus, jumlahnya naik kembali. Ditambah lagi dengan baki simpanan yang rupanya masih ada lagi. Cepat-cepat aku keluar sebelum orang TH perasan dengan kepelikan aku. .
Menuju ke UTM, aku menahan sebak sendirian di atas motor. Teringat susahnya mengadjust perut, gaji, duit tepi untuk kumpul duit bayar yuran semester lepas. Itulah nikmat sebenar
.
Sekian cerita semalam
#livelife

Khamis, Februari 02, 2017

Misi #bangkitbersama

Dua hari dengar ceramah yang penuh gelak ketawa. Malam ni terus buka audio dan video syarahan. Betul kata kawan, orang Malaysia tak boleh dengar ceramah serius, mesti kena ketawa. Aku pula jadi hilang dalam ramai. Gelap jiwa