Khamis, Mac 23, 2017

Kisah Sebuah Kematian Yang Menghidupkan

Judul buku : Cerita Cinta Ahmad Ammar
Penulis : Kumpulan Penulis GTPD
Penerbit : Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd
Jumlah halaman : 360
Tahun terbitan : 2014

Bukanlah kisah cinta biasa yang cuba dipaparkan dalam buku ini. Sebaliknya, kisah seorang anak muda yang hidup seperti insan lain namun kematiannya menjadi sebutan ramai sehingga mencetuskan satu kejutan dan fenomena luar biasa selama berbulan-bulan.

Ahmad Ammar membesar seperti kebanyakan anak muda lain. Bezanya, dia adalah anak pasangan yang begitu dikenali dengan kegiatan kemanusiaan dan kemasyarakatan, dari seluruh pelusuk tanah air hinggalah ke peringkat antarabangsa. Apa yang menjadikan nama Ammar disebut-sebut ialah, kematiannya pada usia 20 tahun yang masih muda tetapi telah banyak menghidupkan hati-hati yang mati dan jiwa-jiwa yang keras, yang tersentuh dengan keperibadiannya yang luhur, dan perwatakannya yang merendah hasil dari gagasan besar yang diletakkan oleh ibu dan bapanya.

Buku ini menghimpunkan 16 buah tulisan insan-insan yang mengenalinya, sama ada rapat atau jauh, dari kalangan keluarga, sahabat dan rakan persekolahan. Setiap dari mereka menuturkan kesimpulan yang sama, bahawa Ammar mempunyai keperibadian yang tinggi sebagai seorang anak muda yang tidak mudah berpuas hati dengan apa yang ada, bekerja keras dan mempunyai wawasan besar terhadap anak bangsanya.

Dibesarkan dalam keluarga aktivis, Ammar sudah biasa memenuhkan harinya dengan pelbagai kegiatan yang mendekatkan dirinya dengan masyarakat. Ibu bapanya mendidik Ammar untuk menjadi seorang anak muda yang membesar dengan matlamat hidup yang jelas - dipersiapkan ke jalan dakwah. Dari rumah dia telah mendapat didikan yang sempurna, diikuti dengan dunia persekolahan yang melengkapkannya dengan ilmu duniawi-ukhrawi, memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD) yang memberinya ruang untuk lebih kuat berhadapan cabaran hidup. Menjadi pelajar kedua terbaik di MTD bukanlah lesen untuk Ammar memilih pengajian yang menjamin masa depan yang cerah kerana dia sudah ditanamkan dengan cita-cita yang lebih besar iaitu membangunkan tamadun bangsa. Hasrat yang datangnya dari ibu bapanya sendiri, langsung tidak disanggah oleh Ammar, malah dia menerima dengan hati terbuka. Ammar tidak dihantar ke barat sebaliknya ke Turki lalu terus memulakan usaha tersebut sebaik sahaja tamat SPM.

Di bawah Jamaah Hayrat, Ammar diasuh bukan sahaja dari segi bahasa dan budaya Turki, malah dengan kefahaman terhadap konsep futuwwah dan persaudaraan dalam pergaulan seharian. Dia mendalami ajaran dan pemikiran Badiuzzaman Said Nursi menerusi Risalah al-Nur malah sudah sedia menjadi pengajar yang ditauliahkan oleh gurunya.

Ammar menjadi rakyat Malaysia yang pertama dimakamkan di Eyyub Sultan, kawasan pemakaman yang menempatkan persemadian Abu Ayub al-Ansari dan 60 orang sahabat Nabi yang syahid serta para pejuang semasa zaman khilafah Uthmaniyyah. Malah ayah Ammar sendiri selalu memberi nasihat kepada anak muda yang berdakwah di luar negara, sekiranya ditakdirkan meninggal dunia, kebumikan sahaja di sana dan jangan diminta untuk dibawa pulang. ‘Biarkan jenazah bersemadi di tempat nafas terakhir dihembuskan.’ (hlm. 81).

Ibu bapanya menjadi ruang untuk mendapatkan maklumat bagaimana Ammar boleh dibesarkan dengan sebegitu hebat dalam keadaan dunia yang semakin mencabar ini. Ternyata sebelum mendidik seorang anak, ibu dan bapa perlulah menjadi yang terbaik sebagai model untuk dicontohi anak-anaknya.

Kisah cinta Ammar dianggap sebagai luar biasa dan cintanya yang tinggi kepada ummah menjadikan dia seorang insan yang akan dicontohi dan dikenang-kenang sampai bila-bila. ‘Pemergian Ammar telah memberi keyakinan kepada kebanyakan orang, agar generasi baru harus dipersiapkan segera untuk menebus maruah umat yang terus dihina dengan kelemahan dan perpecahan’ (hlm. 79)

Tiada ulasan: